20 July 2008

Taman Santuari Tasek Pergau

Jika Perak terkenal kerana keindahan Pulau Banding dan tasiknya, Kelantan pula mempunyai Tasik Pergau yang memberikan pelbagai kelebihan kepada pencinta alam semulajadi. Selain koleksi flora dan fauna yang banyak di kedua-dua tempat itu, persamaan lain adalah dua tasik buatan manusia yang terhasil akibat pembinaan empangan hidroelektrik di Temenggor dan Pergau. Tasik Pergau mungkin tidak sepopular Tasik Banding, tetapi ia berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung ke kawasan ini.Kecantikan alam semulajadi tasik ini, sentiasa menggamit pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand, dan juga negara Eropah dan Jepun. Suasana tenang dan aman di Tasik Pergau menggoda pengunjung untuk menghabiskan percutian di sini, dan terdapat laporan bahawa tasik ini menjadi tempat persinggahan tahunan bagi ramai pelancongan asing.

Kemudahan jeti dan bot.

Pengunjung dari Perak ke Tasik Pergau boleh menggunakan laluan Timur-Barat dari Gerik ke Jeli, sementara pengunjung dari Kota Bharu boleh ke Jeli untuk ke tasik ini. Tidak sukar untuk ke jeti di Tasik Pergau ini, yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama. Kawasan ini turut dikenali sebagai Taman Lindungan Tasik Pergau, sebuah tasik 460 hektar yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung. Bagi peminat aktiviti memancing, Tasik Pergau mempunyai ikan air tawar seperti lampam , talapia dan toman. Di sepanjang tebing tasik pula, anda akan dapat melihat rusa yang datang ke tebing air untuk minum.

Dikelilingi hutan hujan yang menghijau, dan dikatakan lebih tua daripada tasik Amazon, Brazil, tasik ini menawarkan sebuah pengalaman unik kepada pengunjung. Pada malam hari, suhu di Tasik Pergau mencecah sehingga 18 darjah Celsius, seperti suhu di Tanah Tinggi Cameron. Penginapan di sini mencukupi kerana Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) membuka chalet untuk pengunjung yang ingin bermalam di sekitar kawasan tasik. Dengan hanya RM 70, termasuk kos menaiki bot, setiap pengunjung dapat bermalam di tepi tasik. Malah, resort di sini turut menawarkan kemudahan bagi mereka yang ingin mengadakan seminar dan kursus. Resort ini dapat menempatkan 100 penghuni pada satu-satu masa. Antara kemudahan yang disediakan oleh Kesedar adalah enam chalet terapung. Terdapat juga kemudahan surau, khemah, hostel, dewan makan dan bilik mandi.





Chalet yang disediakan oleh pihak KESEDAR.

Panorama untuk santapan mata.




Toman untuk dibawa pulang.

2 comments:

koi said...

hello, nak tanya ni, kalau parking kat jeti tasik pergau sana, selamat ke? takut kena curi kereta?
terima kasih

koi said...

hello, nak tanya ni, kalau parking kat jeti tasik pergau sana, selamat ke? takut kena curi kereta?
terima kasih